25 JANUARI 2018 (JUMAAT) – BELASUNGKAWA
28 OGOS 2020 (SELASA) – PERSARAAN
Pusat Pemulihan Komuniti Strok Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) (SCORE) telah mengadakan majlis persaraan Puan Mekimah Yob selaku Pembantu Am SCORE bertempat di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pagi tadi.
Puan Mekimah telah berkhidmat sebagai Pembantu Am SCORE bermula dari tahun 1993 sehingga Ogos 2020 bersamaan 27 tahun sejak ia ditubuhkan.
Majlis dihadiri seramai 50 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM serta pesakit strok yang datang untuk mendapatkan rawatan di SCORE.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Cik serta Doktor Perubatan SCORE, Dr Fatimah Abdullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Abdul Qawi Navine Abdullah dan diteruskan dengan majlis ucapan.
Ucapan disampaikan oleh YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan juga YBhg Tuan Haji Mamat Che Cik.
Tuan Haji Mamat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Mekimah kerana jasa dan bakti yang dicurahkan di SCORE selama 27 tahun dengan memberi khidmat kepada ratusan pesakit strok.
“Puan Mekimah telah berkhidmat di SCORE atau dahulunya dikenali Pusat Pemulihan Kesihatan Rotary-PERKIM pada tahun 1993 iaitu tahun ketiga ia ditubuhkan,” tambah Haji Mamat.
“Jasa beliau teramatlah besar sekali dan haruslah dikenang,” ujarnya.
Datuk Hasbullah dalam ucapannya juga mengatakan bahawa tiada kata yang mampu diucapkan kepada Puan Mekimah untuk membalas segala jasa beliau.
Beliau mempelawa para hadirin untuk menyertai sukarelawan SCORE bagi membantu pesakit-pesakit yang datang menjalani rawatan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sejambak bunga tanda kasih dan ingatan daripada PERKIM dan jamuan ringkas.
19 SEPTEMBER 2020 (ISNIN) – SUMBANGAN
PERKIM Cawangan Bukit Damansara telah berbesar hati menyumbang kerusi roda yang disampaikan oleh YBhg Dato Haji Hanif Harun selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara.
16 JUN 2017 (JUMAAT) – MAJLIS PENYERAHAN KENDERAAN TRANSIT PESAKIT SCORE
Upacara penyerahan kenderaan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) telah di adakan di The Everly Hotel Putrajaya sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
10 SEPTEMBER 2016 (KHAMIS) – MAJLIS PERASMIAN PUSAT PEMULIHAN KOMUNITI STROK PERKIM (SCORE) : Santuni Masyarakat Strok
Menzahirkan keprihatinan terhadap golongan pesakit merupakan tanggungjawab sosial setiap ahli masyarakat. Usaha kebajikan tersebut merupakan amalan mulia yang dianjurkan oleh Islam.
Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM bertempat di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ianya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Universiti Malaya (UM) Cares dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ia memberi perkhidmatan pemulihan khusus kepada pesakit strok serta pesakit yang baru keluar daripada hospital dan memerlukan khidmat terapi juga sosial susulan.
Selain itu menawarkan juga perkhidmatan terapi untuk semua peringkat umur, kaum dan agama melalui penjadualan yang fleksibel serta kemudahan peralatan moden.
Matlamat SCORE adalah untuk membantu pesakit mempraktik semula keupayaan yang telah hilang selepas mengalami strok. Turut melibatkan pakar perubatan pemulihan, jururawat pemulihan dan fisioterapi iaitu terapi cara kerja dan terapi pertuturan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pihak Universiti Malaya menerusi UM Cares di atas kesudian bersama-sama dalam satu projek PERKIM sebagai satu langkah memberi perkhidmatan di luar kampus.
Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Mohd. Muzammer Jamaluddin mewakili Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz di atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan majlis dengan menyediakan kemudahan dan persiapan.
SCORE merupakan projek sumbangan ihsan daripada DBKL dan projek terbaik bagi penduduk setempat. Menurut perspektif Islam, ganjaran pahala akan tetap diperoleh walaupun bentuk sumbangan sebesar zarah.
Usaha membantu pesakit strok masih kurang mendapat perhatian dari agensi kebajikan. Oleh itu PERKIM mengambil langkah sewajarnya mempergiatkan aktiviti kebajikan melalui SCORE. Tiada siapa yang terselamat sekiranya menghidapi penyakit berkaitan dengan saraf (neuro) iaitu strok. Penglibatan PERKIM secara langsung melalui SCORE bertujuan untuk memulihkan pesakit sebanyak mungkin.
Jelasnya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama berusaha supaya pusat pemulihan seperti SCORE diwujudkan malah telah diperkenal pada tahun 1980 lagi dengan nama Pusat Pemulihan Kesihatan PERKIM.
Sejumlah 500 pesakit telah dirawat sejak penubuhannya pada tahun 1980 walaupun ruangan yang disediakan agak sempit. Pada ketika itu pusat tersebut berjaya dikunjungi oleh pelawat dari negara Kanada, Jepun, Australia, Brunei dan Sri Lanka.
Biar pun jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan tidak mencecah 1,000 orang, namun telah memberi kesan serta mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarganya.
Perkim merupakan badan kebajikan yang tidak langsung berhasrat untuk menjadikan pusat tersebut sebagai medan perniagaan.
“Bukan nak cari untung tetapi untuk membantu masyarakat,” kata Dr. Mohd. Yusof ketika memetik kata-kata Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Melalui jalinan kerjasama yang erat bersama DBKL, PERKIM merancang untuk memiliki kompleks kesihatan sendiri yang diberi nama PERKIM Medicare dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat dan diwujudkan sekurang-kurangnya di setiap negeri.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung, Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP), Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun, Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah UM Cares, Prof Dr. Norzulaani Khalid dan Pakar Perubatan Pemulihan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr. Lidya Abdul Latif.